Wednesday, November 16, 2022

APA ITU MOTOR KASAR ?

Motor kasar dalam Bahasa Inggeris “Gross Motor Skills” adalah kamahiran yang melibatkan otot-otot besar seperti tangan, kaki, lengan, kepada dan seluruh badan yang boleh kita melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Aktiviti setiap hari seperti belari, berjalan, menyambut bola dan melompat yang melibatkan pergerakan tubuh badan yang berfungsi. Sebagai contohnya kanak-kanak yang merangkak, pergerakan ini melibatkan gerakan tangan, kaki, punggung dan bahagian badan yang lain. Oleh itu dalam pergerakan seperti ini, kita akan melihat koordinasi berlaku di antara motor kasar dan motor halus. Selain itu, pegerakan motor kasar juga memerlukan pengawalan bagi keseimbangan dan koordinasi dengan organ-organ deria yang lain seperti mata dan sentuhan.

Gerakan motor kasar kanak-kanak dapat ditingkatkan hanya memberi kanak-kanak peluang melakukan pelbagai aktiviti. Aktiviti yang dirancang tersebut perlu melibatkan kanak-kanak melakukan dalam keadaan yang berbeza seperti keadaan kedudukan badan mereka. Selain itu tahap kesukaran aktiviti juga dapat ditingkatkan berdasarkan penguasaan kanak-kanak itu. Kanak-kanak akan berasa seronok sekiranya aktiviti yang dirancang tersebut mencabar dan berbeza sedikit dari hari kemahiran yang telah mereka peroleh.

Perkembangan fizikal kanak-kanak pada usia 3 hingga 6 tahun ada  dalam keadaan yang sederhana yang dimana ianya dipengaruhi oleh pelbagai faktor-faktor genetik yang diperolehi dari keturunan, pemakanan, pendapatan keluarga dan kaum. Oleh itu, salah satu aspek yang penting dalam perkembangan fizikal kanak-kanak adalah perkembangan daya penglihatan mereka. Pada usia ini perkembangan visual kanak-kanak akan meningkatkan lagi perkembangan otak mereka yang juga memperkukuhkan lagi kombinasi antara hemisfera kanan dan kiri otak yang seterusnya membolehkan kanak-kanak mahir dalam arah kiri dan kanan.

Otak kanak- kanak akan berkembang dengan secara berpusatkan struktur dan fungsinya pada usia ini iaitu semasa mereka berada di prasekolah. Hemisfera kiri otak yang mengawal fungsi bahasa terbentuk dengan amat mudah pada dua tahun pertama usia kanak-kanak. Manakala hemisfera kanan otak yang mengawal maklumat megenai ruang mula berkembang dengan pusat pada sekitar usia lima tahun. Kanak-kanak mengalami peningkatan dalam pergerakan motor kasar dan motor halus yang amat hebat semasa berada di prasekolah. Peningkatan dan penambahbaikan dalam kemahiran motor kasar dan motor halus adalah dipengruhi oleh perkembangan otak, perimbangan ( sense of balance ) yang lebih baik dan peningkatan dalam koordinasi mata dan tangan. Perkembangan motor juga dipengaruhi oleh latihan, ekspektasi ibubapa, peniruan, faktor genetik, perkembangan otak dan keturunan.

Daya imbangan badan merupakan aspek yang penting dalam perkembangan fizikal kanak-kanak. Kanak-kanak yang mempunyai masalah imbangan biasanya akan mengalami juga masalah untuk mengimbangi tubuh badan mereka. Hal ini, mereka tidak akan dapat melakukan pergerakan-pergerakan motor kasar seperti menyepak bola atau menendang dan berjalan di atas titi. Selain itu, kanak-kanak juga mengambil masa yang lebih panjang dari kanak-kanak lain kerana untuk memahirkan dirinya dalam pergerakan motor kasar. Oleh itu, guru haruslah mengenalpasti kanak-kanak yang memerlukan bantuan dalam perkembangan motor kasarnya. Bagi yang berlari dan melompat, kanak-kanak dapat melalui beberapa frasa sebelum mereka boleh berlari dan melompat dengan sempurna. Dari pemerhatian dan kajian yang telah dilakukan dahulu, pada usia 2 hingga 3 tahun barulah kanak-kanak boleh melihat berlari dengan baik walaupun mereka kelihatan seperti berlari pada usia yang lebih muda. Pada usia 4 hingga 5 tahun kanak-kanak boleh berlari dua kali ganda lebih laju daripada kepantasan mereka berlari pada usia 3 tahun.

Kanak-kanak mula cuba untuk melompat sendiri apabila cuba memijak sesuatu objek dengan menggunakan sebelah kaki, ini terjadi pada usia 1 tulan. Pada usia 2 tahun, kanak-kanak  boleh melompat dengan sambil mengangkat sedikit kedua-dua belah kaki mereka, tetapi kanak-kanak ini masih lagi tidak tahu menggunakan tangan mereka untuk mengimbangi badan mereka semasa melompat.

Menangkap bola merupakan kemahiran motor kasar pada usia 2 tahun. Namum begitu pergerakan menangkap bola akan menjadi lebih cekap dan kemas apabila kanak-kanak mampu untuk mengawal pergerakan tubuh badan mereka. Kanak-kanak yang lebih matang sudah boleh mengimbangi badan mereka semasa membuat balingan atau menangkap bola berbanding dengan kanak-kanak 2 atau 3 tahun yang biasanya kelihatan kaku dan sukar untuk membaling bola dan kadang-kadang gagal untuk menangkap bola. Kemahiran menangkap bola akan menjadi lebih baik apabila kanak-kanak itu lebih matang dan boleh menggunakan koordinasi visual mereka untuk memerhatikan pergerakan bola dan juga menangkap bola tersebut.

 

Thursday, November 10, 2022

APA ITU MOTOR HALUS ?

 Motor halus dalam Bahasa inggeris “fine motor skills” iaitu aktiviti atau tindakan fizikal yang melibatkan penggunaan otot-otot kecil pada tangan, pergelangan tangan, jari-jari tangan, kaki, jari kaki , bibir dan lidah. Kebiasaanya,melibatkan koordinasi jejari dengan penglihatan.Kemahiran kanak-kanak menggunakan jari dan gerakan tangan untuk melakukan sesuatu aktiviti dinamakan ‘dexterity’.Ia melibatkan kebolehan koordinasi mata dengan otot kecil tangan. Ia banyak digunakan dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Semasa kecil kanak-kanak sudah mula belajar untuk memegang sesuatu pada tapak tangan. Perkembangan ini akan berterusan sehingga mereka dapat melukis, menulis  atau melakukan aktiviti harian seperti memasang butang baju atau mengikat tali kasut dengan baik.

Memahami perkembangan motor halus adalah penting bagi kanak-kanak. Selain itu, kita sebagai guru juga harus mengetahui ciri motor halus. Terdapat banyak faktor-faktor yang harus dipertimbangkan dalam membuat perancangan pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh pembelajaran kemahiran menulis, adalah penting dalam pengawalan pensil untuk kanak-kanak itu menulis. Guru juga harus tahu cara pengawalan gengaman jari tangan kanak-kanak. Di peringkat mengembangkan kemahiran mereka, guru akan menyelaras dan memberi penyesuaian bagi membantu kanak-kanak ini menulis dengan baik. Guru harus mempertimbangkan saiz, bentuk dan panjang pensil yang sesuai untuk kanak-kanak mula belajar menulis.

Kajian yang telah dijalankan bagi oleh Rhonda Kellogg mendapati kanak-kanak berumur 2 – 8 tahun mempunyai bakat artis kanak-kanak bermula dengan lakaran simbol yang tertentu. Pada peringkat awal kanak-kanak , mereka akan mula melukis bentuk bulat, empat segi dan garisan lurus. Apabila kanak-kanak ini berumur 3 tahun mereka mula membuat bentuk muka, umur 4 tahun  mereka sudah dapat melukis  gambar orang. Pada umur 5 tahun, lukisan orang ini begitu baik dengan lukisan kaki dan tangan yang lebih lengkap beserta baju dan seluar.  Malah, mereka juga telah dapat melukis objek lain seperti haiwan , awan, rumah dan pokok.

Untuk membantu meningkatkan lagi kemahiran motor halus ini ,kita harus merangka strategi yang sesuai untuk kanak-kanak . Dalam membantu kanak-kanak yang baru belajar mula menulis huruf , untuk menulis huruf berulang kali sehingga mereka mahir dengan gerakan motor menulis huruf itu. Kemudian, kita kembangkan kemahiran ini dengan meminta mereka menulis satu perkataan yang lengkap dengan menggabungkan huruf – huruf tersebut bermula dengan perkataan yang memerlukan tiga atau empat huruf sahaja.

 

 

Sunday, November 6, 2022

AKTIVITI YANG MERANGSANG MOTOR KASAR

     1. Berenang




Ibu bapa hendaklah melepaskan kanak-kanak untuk belajar berenang sejak usia satu tahun lagi. Hal ini dapat mengelakkan kejadian lemas berlaku. Selain itu, kanak-kanak juga akan belajar cara untuk menyelamatkan diri mereka ketika berada dalam situasi yang berbahaya seperti terjatuh ke dalam sungai ketika berkelah.

Aktiviti berenang dapat menguatkan otot. Semasa berenang, semua otot akan digunakan untuk mengekalkan posisi dan bergerak di dalam air. Kanak-kanak akan menendang, menarik dan menolak air semasa berenang. Otot perlu bekerja lebih keras untuk melawan rintangan yang dihasilkan daripada air. Oleh sebab itu, otot akan lebih cepat menjadi kuat dan fleksibliti meningkat. Berenang merupakan aktiviti berimpak rendah. Keampungan air menghilangkan tekanan yang dilakukan oleh graviti pada otot. Jadi, risiko untuk mendapatkan kecederaan akan berkurangan jika dibandingkan dengan aktiviti di darat. Di dalam air, kanak-kanak dapat memiliki pergerakan, koordinasi dan fleksibilitasi yang lebih besar. Selain itu, berenang dapat mengurangkan tekanan atau stres. Ia membantu untuk menenangkan minda, menyediakan rutin dan memupuk gaya hidup seimbang. Berenang boleh membantu kanak-kanak untuk melepaskan tekanan bersama dengan endorfin, ini akan menghasilkan keadaan minda yang lebih bahagia dan sihat. Selain itu, berenang adalah peluang terbaik untuk kanak-kanak bermain dengan kanak-kanak lain, sama ada dengan adik beradik atau kawan. Bermain adalah bahagian penting dalam perkembangan sosial kanak-kanak. Selain itu, berenang dapat mencegah obesiti kanak-kanak. Hal ini kerana, air adalah lebih padat daripada udara. Oleh sebab itu, kanak-kanak akan menggunakan lebih banyak tenaga untuk berenang dan bergerak dalam air. Dengan ini, berenang dapat mengekalkan berat badan yang sihat atau membantu mereka menurunkan berat badan tambahan.

Ibu bapa boleh menghantar kanak-kanak ke kelas berenang yang berdekatan untuk mereka mengasaskan teknik berenang mereka. Ibu bapa juga boleh membawa kanak-kanak ke sungai atau kolam untuk membuat mereka selesa dengan air.

 

     2.  Melompat




Ibu bapa boleh mengajar kanak-kanak untuk melompat pada usia setahun atau sejak awal lagi. Hal ini dapat menguatkan lagi kekuatan motor kasar kanak-kanak. 

Aktiviti melompat seperti berkala akan membantu menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis. Tulang kanak-kanak akan makin kuat apabila ditekan dan makin lemah bila tiada tekanan. Jadi melompat ini akan memberi tekanan pada tulang di seluruh tubuh badan kita. Melompat akan membuatkan 37 trillion sel dalam badan turut melompat. Tekanan graviti terhadap semua sel membuatkan mereka terpaksa menjadi lebih kuat untuk menerima tekanan lalu meningkatkan tenaga sel dan fungsi mitokondria. Selain itu, melompat membantu badan menyahtoksin dengan meningkatkan peredaran limfa. Tidak seperti sistem peredaran darah yang mempunyai jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan, sistem limfa tidak mempunyai pengepam dan bergantung kepada pergerakan badan untuk beredar. Melompat adalah pergerakan yang paling bagus untuk kanak-kanak. Melompat meningkatkan imuniti badan untuk menangkis jangkitan dan mencegah penyakit. Melompat selama 10 minit meningkatkan tiga kali ganda jumlah sel darah putih. Sistem limfa mengangkut sel-sel imum ini ke seluruh badan untuk meningkatkan fungsi imun yang merupakan barisan pertahanan pertama badan kanak-kanak. Selain itu, melompat meningkatkan kesihatan pencernaan dan usus. Ia membantu penghadaman kerana gerakan menaik-turun berirama merangsang pengecutan dan kelonggaran otot yang membentuk saluran pencernaan. Selain itu, melompat membantu meningkatkan keseimbangan, koordinasi dan postur dengan merangsang saraf okular dan saluran telinga dalam. Selalu melompat membuatkan reflek kita cepat bertindakbalas. Melompat ini menguatkan otot mata untuk penglihatan yang lebih baik. Ia membantu menguatan saraf okular dan otot mata kanak-kanak kerana kesan peningkatan daya graviti pada setiap bahagian badan. Selain itu, melompat sangat membantu mengedarkan oksigen ke seluruh badan untuk meningkatkan tenaga. Tubuh yang sangat beroksigen tidak digemari oleh kuman penyakit dan sel-sel jahat, yang bersifat anaerob. Mereka tidak dapat bertahan dalam persekitaran yang sangat beroksigen. Melompat trampolin telah terbukti dapat meningkatkan kadar metabolisma dan membantu menurunkan berat badan. Kadar metabolisma akan terus meningkat sehingga 24 jam walaupun sudah berhenti melompat. Selain itu, melompat dapat meningkatkan keupayaan mental dan meningkatkan kesihatan mental. Lompatan yang kerap meningkatkan peredaran darah. Ini membolehkan banyak oksigen segar ke otak, meningkatkan ketajaman dan fokus mental serta meningkatkan komunikasi antara kedua-dua bahagian otak. Ini meningkatkan keupayaan mental dan diketahui dapat membantu kanak-kanak membaca dan menulis.

Untuk mengajar kanak-kanak melompat, ibu bapa hendaklah membeli trampolin untuk mereka berlompat. Selain itu ibu bapa juga boleh mengajar kanak-kanak untuk melompat setempat. Selain itu, ibu bapa juga boleh membawa kanak-kanak ke taman untuk melompat bersama-sama kanak-kanak lain.

 

     3.Berbasikal




Berbasikal sesuai untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas. Ibu bapa hendaklah mengajar kanak-kanak berbasikal supaya motor kasar mereka semakin kuat.

Antara kelebihan berbasikal untuk kanak-kanak ialah dapat membantu meningatkan daya imbangan kanak-kanak. Selain itu, dengan berbasikal ia dapat meningkatkan kecekapan mengawal diri daripada jatuh. Selain itu, berbasikal adalah aktiviti senaman otot yang paling baik kerana ia dapat membantu untuk tumbesaran otot kanak-kanak sehingga usia remaja. Selain itu, ia meningkatkan stamina kanak-kanak. Berbasikal menjadikan sistem imun kanak-kanak lebih kuat. Selain itu, ia membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak.

Ibu bapa boleh mengajar kanak-kanak dengan membeli basikal roda empat di kedai yang berdekatan. Apabila kanak-kanak makin pandai menggunakan basikal roda empat, maka ibu bapa hendaklah mengajar mereka menggunakan roda dua pula. Hal ini dapat mengasah kekuatan mental kanak-kanak.

 

Thursday, November 3, 2022

AKTIVITI YANG MERANGSANG MOTOR HALUS

                  1.  Permainan Lego






Permainan Lego biasanya terbahagi kepada beberapa jenis yang sesuai dengan berbagai umur. Lego yang digalakkan untuk kanak-kanak pada usia dua hingga lima tahun ialah Lego Duplo. Lego Duplo ini mempunyai ukuran yang lebih besar. Ukurannya sengaja dibuat berbeza daripada ukuran standard bagi mengelakkan risiko kanak-kanak tertelan. Selain itu, jenis Lego biasa mempunyai ukuran yang lebih kecil. Lego biasa ini sesuai untuk kanak-kanak yang berumur tujuh tahun hingga dewasa. Hal ini dapat megurangkan risiko tertelan.

Kelebihan yang kanak-kanak dapat daripada permainan Lego ialah dapat melatih koordinasi antara mata dan tangan. Kemampuan kanak-kanak untuk memilih, mengawal, menempatkan dan memasang Lego akan berkembang dengan baik. Selain itu, mengenggam dan membuka-pasang Lego dapat melatih motor halus kanak-kanak. Bermain Lego juga dapat mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu kanak-kanak untuk cepat belajar menulis. Selain itu, ia dapat merangsang daya imaginasi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menjadi kreatif, berimaginasi dan cuba untuk menyelesaikan masalah. Kanak-kanak akan berimaginasi untuk membina kapal terbang atau kereta. Otak mereka berfikir blok Lego yang manakah perlu digunakan untuk digabung menjadi sebuah bentuk yang berada dalam imaginasinya.

Lego boleh dimainkan dengan cara pengasingan warna. Ibu bapa perlu membeli Lego yang mempunyai pelbagai warna. Ibu bapa perlu membiasakan dalam empat warna iaitu merah, biru, kuning dan hijau. Hal ini dapat menguji kemahiran  kanak-kanak dalam membuat pengasingan warna. Selain itu, Lego juga boleh dimainkan dengan cara pengasingan bentuk. Cara mudah, tampak kertas putih dan lukis bentuk asas seperti segitiga, segiempat, bulat, segiempat sama pada kertas tersebut. Kemudian suruh kanak-kanak padankan mengikut bentuk yang sama. Lego juga boleh mengajar kanak-kanak mengira. Ibu bapa hendaklah melukis simbol tambah, tolak, darab, bahagi dan sama . Kemudian ibu bapa hendaklah mengambil beberapa blok Lego untuk menggantikan sebagai nombor.


2. Bermain Doh




Aktiviti bermain doh sangat bagus bagi merangsang deria sentuhan. Ia juga mampu membuat anak lebih ingat dan faham apa yang dipelajarinya. Ini juga antara aktiviti yang sangat digalakkan buat anak seawal usia tiga hingga enam tahun bagi menguatkan otot-otot tangannya bagi memegang pensel. Doh ini diperbuat daripada tepung gandum, garam halus, minyak masak dan air. Doh boleh dihasilkan dalam pelbagai warna untuk menarik minat kanak-kanak.

Aktiviti tangan yang kanak-kanak lakukan semasa bermain doh dapat mengasah kemahiran motor halus mereka. Selain itu, bermain doh adalah prinsip yang sama seperti Lego atau blok kayu kerana ia memerlukan imaginasi yang tinggi ketika bermainnya. Semasa membuat keputusan untuk membentuk doh, kanak-kanak tidak hanya mengikut imaginasinya, malah mereka juga belajar menanam keyakinan dalam diri mereka. Selain itu, doh bukan sahaja senang dibentuk, tetapi juga mempunyai warna yang menarik. Doh juga dapat digunakan sebagai media untuk memperkenalkan konsep warna untuk kanak-kanak.

Saat bermain doh, kanak-kanak akan membentuk, memutar, menggulung, memotong, melipat dan membengkokkannya untuk menjadi bentuk yang mereka inginkan. Selain itu, kanak-kanak akan membayangkan bentuk apa yang mereka inginkan dan memikirkan bagaimana mereka akan membentuk dan merealisasikannya. Dengan memberi kanak-kanak permainan yang merangsang imaginasinya, pasti kreativitinya akan diasah dengan baik.


 3. Melukis




Seni dan kraf seperti mewarna dan melukis adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak. Menurut pakar, untuk kanak-kanak pada usia tiga hingga lapan tahun, aktiviti sebegini adalah penting dalam membantu aspek tumbesaran dan perkembangan mereka. Melukis adalah cara terbaik untuk mengendali dan menguruskan rasa kegelisahan dan tekanan pada kanak-kanak. Melukis juga dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan kognitif dan fizikal kanak-kanak.

Antara kelebihan melukis ialah dapat memupuk minat dalam aspek seni dan kreatif. Secara semula jadi, sikap kreatif sudah wujud dalam diri setiap kanak-kanak lagi. Namun, dengan dorongan dan didikan ibu bapa, sikap ini akan lebih bercambah lalu menjadikan kanak-kanak lebih yakin dan selesa untuk mengekspresikan kesenian dan kreativiti mereka kepada umum. Selain itu, ia dapat mengasah kemahiran motor halus kanak-kanak. Kemahiran motor halus kanak-kanak dapat dipupuk dengan menggunakan latihan seni seperti melukis mahupun menulis. Ini adalah praktis yang terbaik untuk menguatkan motor halus mereka. Dalam pada itu, dengan praktis ini juga ibu bapa dapat mengetahui tangan dominan anak mereka sekali gus lebih memudahkan proses dan praktis pengawalan motor halus atau tangan mereka. Ini akan membuatkan kanak-kanak lebih cepat dan pandai menulis kelak. Selain itu, ia dapat menghubungkan neuron-neuron kanak-kanak. Seni merupakan aktiviti yang dapat menghubungkan setiap deria yang terdapat pada manusia iaitu deria lihat, dengar, sentuh, bau dan rasa. Oleh itu, aktiviti seni seperti melukis yang melibatkan deria lihat dan sentuh atau lain-lain jelas sekali dapat membantu alam pembentukan neuron anak anda sekali gus menghubungkannya. Selain itu, kanak-kanak akan meluahkan perasaan mereka melalui lukisan. Kanak-kanak boleh diajar untuk meluahkan perasaan mereka melalui lukisan agar mereka mempunyai satu medium alternatif selain ibu bapa untuk meluahkan perasaan gembira, sedih atau marah mereka. Ibu bapa dapat mengesan perasaan kanak-kanak dengan melihat kepada penggunaan warna, corak atau bentuk lukisan mereka lalu memudahkan ibu bapa membaca perasaan anak mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya. Selain itu, melukis boleh dijadikan alat untuk mengajar kanak-kanak. Tidak semua kanak-kanak boleh belajar dengan cara yang formal. Malah kebanyakkan kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui visual. Oleh itu, ibu bapa boleh menggunakan ini untuk proses pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan visual seperti lukisan binatang dan makanan untuk mengajar nama binatang serta nama makanan.

Aktiviti melukis boleh dijalankan dengan memberi kanak-kanak sekeping kertas dan pensel warna dan biarkan mereka untuk melukis dengan sendirinya.

Wednesday, November 2, 2022



'PARENTING VIDEO'  ANAK TANPA GADJET



sumber daripada ;  https://youtu.be/jP5OmKQT2YY

Thursday, October 27, 2022

TEORI PERKEMBANGAN PSIKOMOTOR ARNOLD GESELL

 

                                                      ARNOLD GESELL

Arnold Gesell (1880-1961) merupakan antara seorang ahli psikologi yang mempercayai bahawa baka sebagai penggerak utama terhadap perkembangan seseorang individu. Beliau mempercayai bahawa kematangan fizikal merupakan faktor utama bagi menentukan proses pembelajaran. Kebolehan kanak-kanak akan muncul apabila kanak-kanak sampai ke peringkat kematangan tertentu. Beliau berpendapat semua perkembangan berlaku mengikut pola dan urutan tertentu. Oleh itu perkembangan tingkah laku kanak-kanak boleh diramalkan.

Gesell telah berjaya menghasilkan jadual perkembangan turutan tingkah laku (perkembangan motor). Dua buah buku Gesell yang penting ialah “An Atlas of Infant Behavior” dan Infant and Child in Culture of Today”. Buku-buku lain, ‘The First Five Years’, ’Children from 5-10 Years Old’ dan ‘ Adolescents’.

Peringkat perkembangan adalah berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. Ini kerana kadar pertumbuhan adalah berlainan bagi individu. Menurut beliau, kanak-kanak sebelum berumur 2 tahun, tidak boleh melukis bulatan dan garisan melintang. Tetapi semasa berumur 2 hingga 4 tahun mereka boleh melakukannya dengan mudah. 

Tuesday, October 25, 2022

PERINGKAT PERKEMBAGAN ARNOLD GESELL


Peringkat
Cirri-ciri
Pertama 
(0 – 1 tahun)
-  Kematangan emosi  berlaku 1 bulan (isyarat tangisan dan senyuman)
 - Kematangan fizikal berlaku 4 bulan ( pergerakan mata)
Kedua
 ( 1 – 2 tahun)
- kemahiran menggunakan perkataan yang mudah
- Mula berjalan diikuti dengan berlari.

Ketiga
 ( 2 – 3 tahun)
- Mula bentuk sikap berdikari semasa makan, minum dan lain-lain.
- Menggunakan  ayat yang mudah

Keempat 
( 3 – 4 tahun)
- Melakukan aktiviti permainan
 keupayaan melaksanakan tugas harian  
Kelima 
( 4 – 5 tahun)
- Kematangan emosi dan sosial ditunjukkan dalam interaksi dengan rakan sebaya
- Kematangan mental ditunjukkan melalui soalan- soalan dikemukakan

 

Monday, October 24, 2022

TEMPAT-TEMPAT AKTIVITI KANAK-KANAK

 PANTAI 


- Kanak-kanak akan dapat merangsang kemahiran motor halus . Sebagai contohnya , Menggengam , menghancurkan , menggumpal dan menyelerakkan pasir juga akan dapat membantu membina otot kasar dan otot halus . Anak - anak boleh berlari , melompat , berguling , menggali . Dan jika di pantai pula anak-anak boleh belajar berjalan di pasir yang kering ataupun basah . Dengan adanya pasir pantai juga , kanak-kanak dapat menulis dan melukis . Sebelum kanak-kanak cukup bersedia menggunakan pensil untuk belajar menulis , kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mereka mengamalkan kemahiran melukis dan pra-penulisan mereka dalam bahan pelbagai deria . Selain itu , kanak-kanak boleh menggunakan jari atau alat-alat kecil untuk menulis dan melukis . Pasir pantai juga dapat menjadikan deria kanak-kanak lebih peka . Pasir adalah bahan deria yang sangat sempurna untuk kanak-kanak yang suka kepada sentuhan . Kanak-kanak mahu menyentuh segala-galanya dan sentiasa mencari input sentuhan .  Dengan adanya pasir kanak- Kanak akan menyentuh , memerah , dan bermain dengan gembiranya .


TAMAN PERMAINAN 



- Di taman permainan , kanak-kanak akan dapat menguatkan lagi kekuatan otot . Sesetengah aktiviti di taman permainan ini akan dapat mencabar kekuatan otot . Sebagai contohnya , aktiviti memanjat jaring . Memanjat jaring adalah tidak senang kerana jaring akan bergerak apabila anda memanjat . Aktiviti ini akan menguatkan otot tangan , perut dan kaki . Bukan itu sahaja , bermain di taman permainan juga akan dapat meningkatkan ketahanan badan kerana kanak-kanak akan bergerak , berlari dan memanjat sepanjang masa di sana . Selain daripada itu , koordinasi mata-tangan juga akan meningkat . Misalnya , ia memerlukan kanak-kanak mentafsirkan maklumat visual dengan betul dengan cara yang membolehkan mereka menangkap bola . Tugas yang nampaknya sederhana ini merangkumi aktiviti neurologi , kawalan fizikal dan refleks , antara kemampuan lain . Sebagai contohnya , aktiviti memanjat di taman permainan akan membantu dalam menambah baik koordinasi dan motor kasar . Semasa memanjat , kanak-kanak harus berfikir di mana untuk meletakkan tangan dan kakinya .


PADANG 



- Dengan bawanya kanak-kanak di padang , ia juga akan dapat mempertingkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus kanak-kanak . Bersukan bukan sahaja bantu tingkatkan motor halus dan motor kasar kanak-kanak tetapi paling penting ialah semangat percaya pada kebolehan diri sendiri . Di padang , kanak-kanak akan boleh melakukan aktiviti seperti bermain bola , bermain air dan sebagainya . Dengan melakukan aktiviti seperti itu , ia akan dapat melatih kekuatan otot badan dan stamina anak apabila anak melibatkan diri dalam aktiviti fizikal . Selain daripada itu , ia juga akan dapat merangsang perkembangan motor kasar apabila kanal-kanal berjalan , berlari , memanjat dan melompat .


RUMAH ATAU DI SEKOLAH


- Di rumah , kanak-kanak juga boleh melakukan aktiviti mengenai motor kasar dan motor halus . Sebagai ibu bapa atau penjaga mereka perlu menolong anak-anak melakukan aktiviti supaya kemahiran motor kasar dan motor halus mereka akan meningkat . Sebagai contoh aktiviti adalah ibu bapa memberi anak-anak bermain lego dan blok . Dengan melakukan aktiviti itu , ia akan dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan ianya juga dapat merangsang kreativiti anak-anak . Selain daripada aktiviti itu , guru juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti bersama kanak-kanak . Contohnya seperti belajar menggunakan tertikus . Seiring meningkatnya usia anak-anak mereka akan mula ke tadika atau sekolah . Dengan perkembangan teknologi semasa kemungkinan mereka akan menggunakan alat teknologi di sekolah adalah sangat tinggi . Mereka juga boleh mula diajar menggunakan tetikus semasa bermain permainan di komputer ataupun mengunakan tab .

Sunday, October 23, 2022

PERANAN IBU BAPA

     Antara peranan ibu bapa ialah , ibu bapa haruslah melatih kanak - kanak sejak kecil lagi seperti membawa kanak - kanak ke tempat - tempat yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus mereka. Contohnya ibu bapa boleh membawa kanak - kanak ke pantai untuk bermain pasir . Dengan bermain pasir seperti meramas dan menggenggam kanak - kanak dapat merasa tekstur pasir dan kelembutan pasir pantai . Selain itu,  ibu bapa juga boleh memberi kanak -kanak bermain play dough untuk mereka mencipta bentuk - bentuk yang kreatif mengikut tahap kreativiti masing-masing dan dapat meningkatkan perkembangan otot - otot kecil pada jari. Di samping itu , antara aktiviti motor kasar yang dapat ibu bapa lakukan bersama kanak-kanak seperti berjoging , senamrobik dan banyak lagi. Ibu bapa boleh membawa kanak - kanak ke taman permainan untuk menarik minat kanak - kanak terhadap aktiviti fizikal . Bermain taman permainan juga bagus untuk kemahiran motor kasar kanak- kanak.  Di samping itu, ibu bapa juga perlu melakukan aktiviti bersama kanak- kanak untuk membuat mereka semangat dalam membuat aktiviti motor kasar dan motor halus .  Melalui aktiviti seperti ini juga kanak- kanak akan mengembangkan kemahiran mereka untuk mengawal keseimbangan badan. Selain itu, aktiviti seperti ini membolehkan kanak-kanak menggunakan bahagian anggota badan mereka untuk mengawal keseimbangan di tempat yang rata seperti di atas palang dan semasa memanjat.


       Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan bola ping pong . Aktiviti ini menggunakan jari untuk mengambil bola ping pong itu dan mengalihkannya le bekas lain. Aktiviti ini dapat menguatkan otot-otot jari kecil untuk mengangkat bola ping pong satu per satu untuk dimasukkan ke dalam bekas. Selain itu, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran dalam perkembangan motor kasar dan halus kanak - kanak kerana perkembangan koordinasi yang lambat merupakan salah satu masalah dalam gerakan motor. Di samping itu kanak-kanak yang mempunyai masalah tersebut akan menganggu mereka sukar untuk membuat aktiviti seperti berjalan , menunggang basikal dan banyak lagi . Oleh itu , peranan ibu bapa dalam membantu anak - anak meningkatkan kemahiran motor halus dan motor kasar amatlah penting supaya mereka tidak ketinggalan jauh dari kanak - kanak lain . 

Saturday, October 22, 2022

RUMUSAN

     Kesimpulannya, dengan kesedaran ibu bapa terhadap kemahiran motor kasar dan halus amatlah penting kerana dengan kesedaran ini secara tidak langsung ibu bapa dapat membantu  kanak - kanak untuk membesar dengan mengikut setiap perkembangan pada tahap umur . Selain itu, pada amnya kemahiran motor ini melibatkan hubungan antara otak saraf dan otot yang kerja secara bersama. Di samping itu , penguasaan motor kasar dan halus ini sangat penting untuk membolehkan kanak - kanak untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemahiran motor halus dan halus. Antara contoh aktiviti kemahiran motor kasar ialah berenang , berlari , menari dan banyak lagi . Antara aktiviti kemahiran motor halus pula adalah menulis, menggunting dan banyak lagi aktiviti yang dapat dibuat oleh kanak-kanak dalam meningkatkan perkembangan ini. Oleh itu semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru haruslah mengambil berat tentang kedua- dua kemahiran ini untuk meningkatkan lagi perkembangan motor halus dan kasar kanak-kanak serta mereka tidak mempunyai masalah untuk menguasai.


RUJUKAN 

KPK 2023 (Perkembangan Fizikal Kanak-kanak)

APA ITU MOTOR KASAR ?

Motor kasar dalam Bahasa Inggeris “ Gross Motor Skills ” adalah kamahiran yang melibatkan otot-otot besar seperti tangan, kaki, lengan, kepa...