Permainan Lego biasanya terbahagi kepada beberapa jenis yang sesuai dengan berbagai umur. Lego yang digalakkan untuk kanak-kanak pada usia dua hingga lima tahun ialah Lego Duplo. Lego Duplo ini mempunyai ukuran yang lebih besar. Ukurannya sengaja dibuat berbeza daripada ukuran standard bagi mengelakkan risiko kanak-kanak tertelan. Selain itu, jenis Lego biasa mempunyai ukuran yang lebih kecil. Lego biasa ini sesuai untuk kanak-kanak yang berumur tujuh tahun hingga dewasa. Hal ini dapat megurangkan risiko tertelan.
Kelebihan yang kanak-kanak dapat daripada permainan Lego ialah dapat melatih koordinasi antara mata dan tangan. Kemampuan kanak-kanak untuk memilih, mengawal, menempatkan dan memasang Lego akan berkembang dengan baik. Selain itu, mengenggam dan membuka-pasang Lego dapat melatih motor halus kanak-kanak. Bermain Lego juga dapat mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu kanak-kanak untuk cepat belajar menulis. Selain itu, ia dapat merangsang daya imaginasi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menjadi kreatif, berimaginasi dan cuba untuk menyelesaikan masalah. Kanak-kanak akan berimaginasi untuk membina kapal terbang atau kereta. Otak mereka berfikir blok Lego yang manakah perlu digunakan untuk digabung menjadi sebuah bentuk yang berada dalam imaginasinya.
Lego boleh dimainkan dengan cara pengasingan warna. Ibu bapa perlu membeli Lego yang mempunyai pelbagai warna. Ibu bapa perlu membiasakan dalam empat warna iaitu merah, biru, kuning dan hijau. Hal ini dapat menguji kemahiran kanak-kanak dalam membuat pengasingan warna. Selain itu, Lego juga boleh dimainkan dengan cara pengasingan bentuk. Cara mudah, tampak kertas putih dan lukis bentuk asas seperti segitiga, segiempat, bulat, segiempat sama pada kertas tersebut. Kemudian suruh kanak-kanak padankan mengikut bentuk yang sama. Lego juga boleh mengajar kanak-kanak mengira. Ibu bapa hendaklah melukis simbol tambah, tolak, darab, bahagi dan sama . Kemudian ibu bapa hendaklah mengambil beberapa blok Lego untuk menggantikan sebagai nombor.
2. Bermain Doh
Aktiviti bermain doh sangat bagus bagi merangsang deria sentuhan. Ia juga mampu membuat anak lebih ingat dan faham apa yang dipelajarinya. Ini juga antara aktiviti yang sangat digalakkan buat anak seawal usia tiga hingga enam tahun bagi menguatkan otot-otot tangannya bagi memegang pensel. Doh ini diperbuat daripada tepung gandum, garam halus, minyak masak dan air. Doh boleh dihasilkan dalam pelbagai warna untuk menarik minat kanak-kanak.
Aktiviti tangan yang kanak-kanak lakukan semasa bermain doh dapat mengasah kemahiran motor halus mereka. Selain itu, bermain doh adalah prinsip yang sama seperti Lego atau blok kayu kerana ia memerlukan imaginasi yang tinggi ketika bermainnya. Semasa membuat keputusan untuk membentuk doh, kanak-kanak tidak hanya mengikut imaginasinya, malah mereka juga belajar menanam keyakinan dalam diri mereka. Selain itu, doh bukan sahaja senang dibentuk, tetapi juga mempunyai warna yang menarik. Doh juga dapat digunakan sebagai media untuk memperkenalkan konsep warna untuk kanak-kanak.
Saat bermain doh, kanak-kanak akan membentuk, memutar, menggulung, memotong, melipat dan membengkokkannya untuk menjadi bentuk yang mereka inginkan. Selain itu, kanak-kanak akan membayangkan bentuk apa yang mereka inginkan dan memikirkan bagaimana mereka akan membentuk dan merealisasikannya. Dengan memberi kanak-kanak permainan yang merangsang imaginasinya, pasti kreativitinya akan diasah dengan baik.
3. Melukis
Seni dan kraf seperti mewarna dan melukis adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak. Menurut pakar, untuk kanak-kanak pada usia tiga hingga lapan tahun, aktiviti sebegini adalah penting dalam membantu aspek tumbesaran dan perkembangan mereka. Melukis adalah cara terbaik untuk mengendali dan menguruskan rasa kegelisahan dan tekanan pada kanak-kanak. Melukis juga dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan kognitif dan fizikal kanak-kanak.
Antara kelebihan melukis ialah dapat memupuk minat dalam aspek seni dan kreatif. Secara semula jadi, sikap kreatif sudah wujud dalam diri setiap kanak-kanak lagi. Namun, dengan dorongan dan didikan ibu bapa, sikap ini akan lebih bercambah lalu menjadikan kanak-kanak lebih yakin dan selesa untuk mengekspresikan kesenian dan kreativiti mereka kepada umum. Selain itu, ia dapat mengasah kemahiran motor halus kanak-kanak. Kemahiran motor halus kanak-kanak dapat dipupuk dengan menggunakan latihan seni seperti melukis mahupun menulis. Ini adalah praktis yang terbaik untuk menguatkan motor halus mereka. Dalam pada itu, dengan praktis ini juga ibu bapa dapat mengetahui tangan dominan anak mereka sekali gus lebih memudahkan proses dan praktis pengawalan motor halus atau tangan mereka. Ini akan membuatkan kanak-kanak lebih cepat dan pandai menulis kelak. Selain itu, ia dapat menghubungkan neuron-neuron kanak-kanak. Seni merupakan aktiviti yang dapat menghubungkan setiap deria yang terdapat pada manusia iaitu deria lihat, dengar, sentuh, bau dan rasa. Oleh itu, aktiviti seni seperti melukis yang melibatkan deria lihat dan sentuh atau lain-lain jelas sekali dapat membantu alam pembentukan neuron anak anda sekali gus menghubungkannya. Selain itu, kanak-kanak akan meluahkan perasaan mereka melalui lukisan. Kanak-kanak boleh diajar untuk meluahkan perasaan mereka melalui lukisan agar mereka mempunyai satu medium alternatif selain ibu bapa untuk meluahkan perasaan gembira, sedih atau marah mereka. Ibu bapa dapat mengesan perasaan kanak-kanak dengan melihat kepada penggunaan warna, corak atau bentuk lukisan mereka lalu memudahkan ibu bapa membaca perasaan anak mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya. Selain itu, melukis boleh dijadikan alat untuk mengajar kanak-kanak. Tidak semua kanak-kanak boleh belajar dengan cara yang formal. Malah kebanyakkan kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui visual. Oleh itu, ibu bapa boleh menggunakan ini untuk proses pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan visual seperti lukisan binatang dan makanan untuk mengajar nama binatang serta nama makanan.
Aktiviti melukis boleh dijalankan dengan memberi kanak-kanak sekeping kertas dan pensel warna dan biarkan mereka untuk melukis dengan sendirinya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.